Keberangkatan Rasmi ke Bangkok, Thailand





Oleh : Haniza Abdul Latif, Pg. Siti Redzaimi Pg.Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Alishahrin Haji Mumin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 28 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bertolak dari Bandar Seri Begawan ke Bangkok petang tadi bagi mengadakan Keberangkatan Rasmi ke Thailand selama dua hari yang bermula hari ini hingga esok, 29 April 2024.

 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

 

Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah DYMM ialah ahli-ahli kerabat diraja.

 

Berangkat sama dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei.

 

Close